mutakhir

Neelofa, suami tidak didakwa rentas negeri diputuskan Pejabat Peguam Negara

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail tidak didakwa berkaitan kesalahan rentas negeri ketika dibawa ke mahkamah di sini, semalam selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, siasatan membabitkan kes pasangan berkenaan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya, terlebih dahulu sebelum kes dibawa ke mahkamah.

"Isu rentas negeri membabitkan pasangan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara.

"Kajian dan keputusan itu dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes rentas negeri ke Nilai 3, di sini, membabitkan Neelofa dan suaminya atau dikenali PU Riz, yang tidak didakwa di mahkamah di Seremban, semalam.

Perkara itu menimbulkan persoalan terutama dalam kalangan netizen apabila tiada pihak tampil menjelaskan isu Neelofa dan suaminya yang dipercayai merentas negeri dan berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3.

Video pasangan itu ke premis berkenaan dikongsikan Neelofa di Instagram Story miliknya sebelum dipadamkan.

Semalam, pasangan terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual pada buku disediakan ketika hadir di kedai karpet di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.

Muhammad Haris didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam, manakala Neelofa pula satu tuduhan tidak membuat aplikasi MySejahtera di premis berkenaan.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan sebut semula kes pada 4 Jun depan.

Semalam, peguam bela pasangan terbabit, Haresh Mahadevan ketika ditemui media di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban, menjelaskan bahawa mereka hadir atas tuduhan sedia ada.

Beliau berkata, pertuduhan hanya membabitkan pelanggaran SOP PKPB dan tidak membabitkan isu rentas negeri atau sebagainya.

"Kami hari ini hadir untuk tuduhan yang sedia ada dan sebutan semula kes pada 4 Jun nanti adalah untuk serahan dokumen berkaitan kes semasa ini.

"Kedua-dua mereka bersetuju untuk dibicarakan," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2021 @ 4:42pm
d