mutakhir

Syed Saddiq minta fokus desakan penubuhan IPCMC

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap siasatan polis dilakukan terhadapnya ketika ini tidak lari isu fokus iaitu mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Hari ini, beliau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi memberikan keterangan bermula jam 10.15 pagi hingga 12 tengah hari berhubung kenyataannya berkaitan kematian A Ganapathy ketika dalam tahanan polis.

Dalam sidang media selepas selesai memberikan keterangan kepada polis, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu berkata, siasatan kematian dalam tahanan polis adalah serius termasuk daripada laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Tadi saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan siasatan ke atas saya berkaitan 'posting' pada April lalu di Instagram di mana saya membela keluarga Ganapathy.

"Saya cuma berharap penggubal dasar fokus isu hakiki desakan saya untuk penubuhan IPCMC," katanya yang ditemani peguamnya, Ainur Rabiatuadawiyah Hassim.

Berhubung siasatan terhadapnya katanya, beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

Semalam, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan dalam ciapan Twitter mengesahkan sedang disiasat oleh polis mengenai satu rakaman video yang dimuat naik mengenai kematian Ganapathy ketika dalam tahanan polis.

Beliau tiba di perkarangan IPD Dang Wangi jam 9.55 pagi untuk memberikan keterangan berhubung siasatan itu.

Ganapathy 40, peniaga susu lembu ditahan polis pada 24 Februari lalu dan meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April selepas sebulan menerima rawatan.

Keluarga Ganapathy mendakwa, mangsa dipukul ketika dalam tahanan dan menderita akibat kecederaan pada kaki, lengan dan bahu.

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 3:19pm
d