mutakhir

Banda Hilir sepi

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Lengang dan sunyi sepi. Itu situasi pusat pelancongan di Banda Hilir, di sini susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0), selain peningkatan mendadak kes berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan berkenaan sepi daripada kunjungan orang ramai, kecuali dua pengayuh beca yang setia menanti penumpang.

Seorang penduduk yang juga ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelab Generasi Positif Melaka, Adha Abdullah 54, berkata, dia tidak pernah menyangka Bandar Hilir yang popular sebagai destinasi pelancongan, kini sunyi dan tidak berpenghuni.

Menurutnya, itulah hakikat yang perlu dihadapi semua pihak termasuk peniaga, pengusaha pelancongan dan komuniti kerana wabak berkenaan yang masih mengganas.

Baginya, situasi tanpa aktiviti itu membuktikan orang ramai mematuhi arahan kerajaan dengan tidak keluar sesuka hati tanpa sebarang urusan.

"Pematuhan ini sesuatu yang positif untuk melandai dan memutuskan wabak berkenaan yang semakin membimbangkan.

"Bukan setakat Bandar Hilir, Kota Famosa, Jonker Walk, Ayer Keroh, Pantai Klebang dan Pantai Puteri juga lengang, malah kebanyakan peniaga juga tidak membuka gerai masing-masing," katanya.

Adha berkata, mereka juga tidak mahu berdepan risiko dikompaun jika berpeleseran tanpa tujuan.

Sementara itu, dua penarik beca berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, sejak PKP dikuatkuasakan tiada pelancong yang mengunjungi kawasan pelancongan terbabit.

Namun, katanya, mereka masih keluar bekerja dan berharap ada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 6:00pm
d