mutakhir

Kompaun RM50,000 dikurangkan ke RM2,000

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 pada 25 April lalu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi pengurangan bayaran sehingga RM2,000.

Mereka masing-masing peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38; peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, dan peniaga kedai runcit, Mansah Marjurin, 47.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri (UIPN) sudah menerima balik kes berhubung kompaun berjumlah RM50,000 itu.

Katanya, peniaga burger dikenakan kompaun RM2,000 mengikut garis panduan dan tidak boleh dikurangkan kerana melakukan kesalahan buat kali kedua.

"Bagi peniaga colek dan kedai runcit, kompaun dikeluarkan RM2,000, namun mereka akan mendapat pengurangan 50 peratus sekiranya membayar dalam tempoh tujuh hari dan dikurangkan lagi 50 peratus jika terdiri golongan B40.

"Jika dikira kepada pengurangan bagi mereka yang layak dan membayar dalam tempoh ditetapkan, peniaga berkenaan hanya perlu RM500 sahaja daripada kompaun RM2,000 terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa ketika tempoh PKP pada 25 April lalu.

Kesemua mereka dikenakan kompaun antara 11.10 malam sehingga 11.40 malam di sekitar Tanjung Chat dan Kampung Rambutan Rendang, di sini.

Sementara itu, Mohd Azizi yang dihubungi berkata, dia amat bersyukur apabila mendapat pengurangan bayaran kompaun sehingga RM2,000.

Katanya, dia sudah hadir ke Pejabat Kesihatan untuk mengambil keputusan rayuan dan perlu mengemukakan pengesahan dokumen bagi melayakkannya membayar kompaun hanya RM500 dalam tempoh tujuh hari.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu selama ini. Saya akan menyelesaikan kompaun ini dalam masa tujuh hari," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2021 @ 5:44pm
d