mutakhir

Ingkar arahan kuarantin untuk lumba haram

Oleh Melvin Joni

Kuching: Seorang lelaki bukan sahaja ingkar arahan kuarantin di rumah, malah turut didapati berlumba motosikal secara haram sebelum ditangkap dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakuub, Petra Jaya.

Operasi itu yang bermula jam 9.30 malam sehingga 10 pagi hari ini dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Kuching.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata, lelaki berusia 22 tahun itu dikompaun mengikut Seksyen 14 Peraturan 22 (B) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana mengingkari ingkar arahan pengasingan (kuarantin) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dia juga ditahan kerana terlibat dalam aktiviti samseng jalanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Merbin berkata, seramai 39 individu yang terdiri 36 lelaki dan tiga wanita dikompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Katanya, operasi itu juga menahan lima lelaki kerana melakukan aksi 'Superman' dengan keseluruhan individu ditahan berumur 16 hingga 24 tahun dan dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Operasi itu juga mengeluarkan 127 saman membabitkan pelbagai kesalahan, manakala 29 motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) APJ 1987 atas pelbagai kesalahan seperti mengubah suai ekzos, struktur kenderaan dan nombor plat tidak mengikut peraturan.

Disiarkan pada: May 23, 2021 @ 7:32pm
d