mutakhir

Pencari ketam hilang, tidak pulang sejak Jumaat

Oleh Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: Lelaki dilaporkan hilang ketika mencari ketam di kawasan paya bakau di Kampung Melayu Dapur Arang di sini, sejak 21 Mei lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri menerima laporan mengenai kehilangan lelaki berusia 56 tahun berkenaan pada 5.37 petang semalam.

Menurutnya, operasi mencarinya diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin dan seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri.

Katanya, siasatan mendapati mangsa, Zulkifli Amin yang berstatus bujang itu dan tinggal bersama anak saudaranya keluar rumah pada Jumaat lalu.

"Anak saudara mangsa kemudiannya melaporkan kejadian selepas khuatir dengan keselamatan mangsa selepas lelaki berkenaan masih lagi tidak pulang.

"Anak saudaranya menjangka mangsa yang keluar mencari ketam akan pulang ke rumah selepas sehari keluar.

"Apabila mangsa masih tidak pulang, anak saudaranya mengambil keputusan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan mangsa dilakukan di sekitar kawasan berkenaan serta dilakukan dengan bantuan dron.

"Operasi mencari mangsa diteruskan pada hari ini dan dibantu oleh Unit Anjiing Pengesan (K9) JBPM dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)," katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 9:07am
d