mutakhir

Penemuan mayat remaja: Sembilan individu didakwa esok

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sembilan individu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, esok, berhubung penemuan mayat remaja perempuan di tepi jalan simpang Pokok Pauh, Pokok Sena pada 11 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, semua suspek berusia antara 13 tahun hingga 33 tahun termasuk seorang wanita warga Kemboja berusia 20 tahun ditahan polis sehari selepas penemuan mayat berkenaan.

"Suspek utama kes ini akan dituduh mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan iaitu membuang dan menyembunyikan mayat mangsa dengan niat mengelak dikenakan tindakan undang-undang yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

"Seramai tiga suspek akan dituduh mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara (PPN) 1990 iaitu gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika ditahan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kesemua suspek juga akan dituduh mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (P.U (A) 225/2021) kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu berkumpul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Suspek wanita warga Kemboja itu pula akan dituduh mengikut Peraturan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

"Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 50 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemui dalam kawasan kebun getah berdekatan Pokok Pauh, Pokok Sena pada 11 Mei lalu.

Mayat remaja perempuan itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat dan pengecaman dilakukan ibu mangsa berdasarkan bentuk tubuh badan, rupa serta rambut.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 9:34pm
d