mutakhir

Insiden LRT: 'Penumpang terpelanting, jatuh'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Sekelip mata saja kemalangan berlaku dan keadaan di dalam tren bertukar menjadi panik," kata Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, seorang mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam ini.

Kemalangan yang berlaku di laluan bawah tanah berhampiran KLCC itu mengakibatkan ramai penumpang tercedera.

Menceritakan kejadian, Afiq yang bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota berkata, dia menaiki tren itu untuk menuju ke Ara Damansara.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan menuju ke arah KLCC secara tiba-tiba tren berhenti mengejut menyebabkan penumpang di dalam tren terpelanting dan terjatuh.

"Sebelum kejadian, tren ada berhenti selama 15 minit dan kemudian bergerak semula. Tak sampai 10 saat bergerak, berlaku pelanggaran dan impaknya sangat kuat.

"Saya cedera di kepala, kaki kiri dan sakit dada," katanya ketika dihubungi Harian Metro malam ini.

Afiq berkata, dia dan penumpang lain dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 11:16pm
d