mutakhir

Insiden LRT: 'Anak menangis beritahu tidak dapat rasa kaki yang cedera' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Dalam keadaan menangis, anak memaklumkan dia tidak merasa kakinya yang cedera dalam insiden itu," kata Syafiza Abd Hadhib, 45, ibu kepada mangsa yang cedera dalam insiden membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, di sini, malam tadi.

Syafiza berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya, Adzleen Syzarenna, 24, melalui nombor telefon tidak dikenali jam 8.29 malam.

"Anak saya yang bekerja di sebuah bank di Ampang sering menggunakan pengangkutan awam itu untuk berulang-alik ke rumah sewanya di Subang.

"Sejurus selepas kemalangan itu, Adzleen terus menghubungi saya dan memaklumkan dia cedera di bahagian kaki dan tidak dapat bangun.

"Saya yang terkejut dengan berita itu terus ke lokasi kejadian dan sempat berjumpa dengan dia yang masih berada dalam keadaan trauma sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, hari ini.

Seorang lagi ibu kepada mangsa insiden berkenaan, Mazuin Bahari, 51, berkata, dia bimbang dengan keselamatan anaknya sebaik mengetahui tren dinaiki anaknya, Tengku Ahmad Raiyan Tengku Naha, 27, terbabit dalam insiden itu.

"Ketika itu, Raiyan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Cheras. Sejurus selepas kemalangan itu, dia menghubungi saya untuk memaklumkan kejadian berkenaan jam 9.19 malam.

"Raiyan memberitahu beritahu kaki kanannya tidak boleh digerakkan selain berasa sakit pada bahu akibat hentakan kuat," katanya ketika ditemui di HKL, hari ini.

Mazuin berkata, dia bersama sepupu dan tunang Raiyan terus bergegas ke lokasi kejadian, namun dimaklumkan, semua mangsa sudah dibawa ke hospital berkenaan untuk rawatan lanjut.

"Saya sama sekali tidak menyangka kejadian seperti itu berlaku kerana sebelum ini saya kerap mendengar dan membaca kejadian itu di luar negara.

"Setakat ini, saya masih belum mengetahui keadaan dan tahap kecederaan Raiyan memandangkan ahli keluarga tidak dibenarkan masuk ke wad kecemasan berikutan arahan daripada pihak hospital susulan penularan Covid-19," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di perkarangan wad kecemasan HKL mendapati puluhan pengamal media berada di kawasan terbabit bagi mendapatkan info lanjut berhubung insiden berkenaan.

Berita berkaitan

Insiden LRT: Terowong sempit sukarkan pasukan penyelamat

Insiden LRT: Kemalangan akibat pertembungan 2 tren

Insiden LRT: 'Penumpang terpelanting, jatuh'

Insiden LRT: Segera siasat punca kemalangan - PM

Insiden LRT: 47 parah, 166 cedera ringan

Penumpang cedera, tren LRT berhenti mengejut [METROTV]

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 2:08am
d