mutakhir

Rentas daerah, negeri beraya: 90 positif Covid-19

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Tindakan segelintir individu melakukan rentas daerah dan negeri untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka dengan memberikan pelbagai alasan kepada pihak berkuasa menyebabkan sekurang-kurangnya 90 individu disahkan positif Covid-19 di negeri ini.

Perbuatan itu terbongkar selepas ramai ahli keluarga didapati positif Covid-19 di satu lokaliti.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, di daerah Kuala Terengganu, 13 individu melakukan rentas negeri dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan 40 ahli keluarga disahkan positif Covid-19.

Katanya, di daerah Hulu Terengganu, tindakan sembilan individu rentas negeri menyebabkan 26 ahli keluarga mereka positif Covid-19.

"Di daerah Kemaman pula, lapan individu melakukan rentas negeri serta daerah menyebabkan 24 ahli keluarga disahkan positif. Secara keseluruhannya, 90 disahkan positif Covid-19 disebabkan kegagalan 30 individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya menerusi Facebook (FB) miliknya hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, sebuah pasar raya terpaksa ditutup selama 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif Covid-19.

"Mereka ini tentunya bertebar di beberapa daerah, pasti ribuan orang masuk ke pasar raya itu masa nak raya baru ni...cuba bayangkan.

"Orang larang rentas negeri atau daerah untuk beraya kita buat juga dengan memberi pelbagai alasan...balik dari zon merah secara senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 10:49am
d