mutakhir

Akui bimbang namun pengguna tetap yakin LRT selamat digunakan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Bimbang namun tetap yakin perkhidmatan yang diberikan adalah selamat untuk penumpang.

Bagi Hakimi Asri, 20, dia menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) setiap hari untuk pergi ke pejabatnya di Abdullah Hukum, di sini.

Katanya, kejadian semalam pasti membimbangkan namun dia tetap optimis perkhidmatan LRT masih selamat.

"Saya gunakan LRT setiap hari untuk ke tempat kerja dan kejadian semalam pasti menggusarkan.

"Namun, saya yakin ia selamat dan berharap kejadian tidak berulang kerana ia pertama kali berlaku sejak memulakan perkhidmatan," katanya ketika ditemui di Stesen KLCC, hari ini.

Tinjauan mendapati stesen berkenaan beroperasi seperti biasa namun jumlah penumpang agak berkurangan berbanding kebiasaan.

Pasukan siasatan dan teknikal Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) juga masih giat menjalankan siasatan di lokasi nahas.

Tren yang terbabit mengambil masa tiga hari untuk dialihkan dari lokasi nahas namun laluan berkenaan masih boleh digunakan.

Tiada sebarang masalah berlaku pada laluan itu kerana menggunakan teknik 'switching' pada laluan berhampiran lokasi nahas membolehkan tren lain berfungsi seperti biasa.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Hawa Sabrina Ghazali, 25, berkata, kemalangan semalam ternyata memberi kesan kepada penumpang tetap perkhidmatan itu.

Namun, katanya, rekod 23 tahun tanpa sebarang insiden serius seperti ini membuktikan LRT memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang menjadi keutamaan.

"Saya masih yakin menggunakan perkhidmatan LRT untuk ke tempat kerja kerana selamat, selesa dan cepat," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 12:05pm
d