mutakhir

NUJ kesal doktor pandang rendah media

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) kesal dengan kenyataan seorang doktor yang memandang rendah sumbangan media dalam membantu kerajaan menangani Covid-19.

Presiden NUJ Malaysia Farah Marshita Abdul Patah berkata, sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 lagi, petugas media berdepan pelbagai risiko setiap kali berada di lapangan untuk melakukan tugasan demi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Menurutnya, apa yang menyedihkan, tugas dan peranan petugas media seakan tidak diiktiraf, malah tidak diklasifikasikan sebagai petugas barisan hadapan.

"Bukti kukuh adalah sampai sekarang, apabila petugas media masih belum diberikan suntikan walaupun kami dijanjikan vaksin pada awal Mei lalu dan sehingga kini kami masih menunggu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Farah Marshita berkata, walaupun petugas media belum menerima suntikan vaksin, mereka tetap menyampaikan berita mengenai kepentingan vaksin walaupun hanya sekadar melihat orang ramai divaksin.

Menurutnya, ketika ini juga sudah ramai petugas media yang positif Covid-19 ketika menjalankan tugas.

"Jadi sampai bila media yang perlu berkorban dan perlu dikorbankan. Perlu tunggu ada dalam kalangan kami yang mati baru nak bertindak?" tegasnya.

Sebelum ini, Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya Dr Rafidah Abdullah memuat naik status di Twitter miliknya dengan mendakwa pihak media tidak memainkan peranan untuk menulis kebaikan vaksin kepada rakyat.

"Media mana? Tolong tunjukkan kebaikan vaksin kepada rakyat. Tak payahlah cerita artis langgar prosedur operasi standard (SOP).

"Pedulikan mereka ini. Gantikanlah program tidak berilmiah dengan yang boleh mempengaruhi minda masyarakat kita ke arah membuat keputusan yang lebih betul. Lebihkan," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Bagaimanapun, di Twitter berkenaan terdapat beberapa individu berkongsi pelbagai artikel berkaitan kebaikan vaksin yang ditulis pengamal media bagi menjawab soalan diajukan Dr Rafidah.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan akan memanggil Dr Rafidah bagi mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 4:22pm
d