mutakhir

Pemandu tren LRT digantung kerja [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kakitangan terbabit insiden pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang mengakibatkan 67 cedera parah semalam, tidak dibenarkan mengendalikan pengoperasian.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan pergantungan sementara itu adalah mengikut garis panduan ditetapkan.

"Kita perlu berlaku adil dan siasatan akan dilakukan dari semua sudut. Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menjalankan siasatan juga sudah memulakan tugas mereka pagi tadi.

"Berdasarkan siasatan awal, semua tren LRT adalah dikendalikan secara automatik tapi apa yang berlaku semalam, satu tren itu mengalami masalah teknikal dan terpaksa ditarik secara manual.

"Seorang pemandu dihantar ke lokasi bagi mengendalikan tren secara manual dan dibawa balik ke depot," katanya dalam sidang media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Pengarah HKL Datuk Dr Herric Corray dan Pemangku Presiden Prasarana Berhad, Datin Hajah Norlia Noah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, punca sebenar kemalangan itu akan diketahui sebaik laporan lengkap siasatan diperoleh dalam tempoh 14 hari.

Ditanya sama ada pengendalian secara manual itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP), menurutnya, ia ada termaktub dalam tatacara pengendalian tren.

"Apabila alami kerosakan dari segi teknikal, maka tiada pilihan lain kecuali membawanya secara manual balik ke depoh.

"Tapi biarlah jawatankuasa khas menyiasatnya sehingga mendapat jawapan. Mereka akan melihat semua kemungkinan termasuk mencari formula penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, beliau sudah mengarahkan pegawai melihat bantuan yang boleh diberikan kepada semua mangsa terbabit.

Menurutnya, kementerian melalui Yayasan Wilayah Persekutuan juga akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa.

Disiarkan pada: May 25, 2021 @ 8:48pm
d