mutakhir

Slot janji temu pusingan kedua suntikan vaksin AZ sudah penuh

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Slot janji temu untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) pusingan kedua yang dibuka pada 12.15 tengah hari ini sudah ditutup dengan lebih 300,000 individu dilaporkan berjaya membuat tempahan.

Slot janji temu berkenaan dimaklumkan sudah penuh pada 1.35 tengah hari menerusi aplikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kesungguhan rakyat Malaysia mendapatkan vaksin terbukti apabila ada yang sanggup menunggu kira-kira dua jam lebih awal sebelum waktu slot tempahan dibuka, malah tidak berputus asa walaupun berdepan trafik web yang sesak.

Seorang yang berjaya membuat tempahan temu janji adalah Nasibah Mohd Rusdi, 24, dari Lembah Keramat di sini.

Menurut Nasibah, dia mula mengakses laman web pada 11.50 pagi dan hampir berputus asa kerana sukar menembusinya.

"Akan tetapi, saya terus menekan butang 'refresh' sehingga dapat mengakses dan mengisi butiran diperlukan sebelum menerima notifikasi permohonan berjaya pada 12.30 tengah hari.

"Syukur kerana ia kali pertama saya mencuba dan berjaya menempah slot temu janji.

"Saya memilih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan berharap semuanya dipermudahkan nanti," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Massa (Perhubungan Awam) Aqashah Arif Kamarul Ariffin, 22, dari Muar, Johor mengakui gembira selepas berjaya menempah slot temu janji selepas gagal berbuat demikian ketika pusingan pertama sebelum ini.

"Kecewa juga ketika gagal membuat tempahan sebelum ini tetapi saya tetap mahu mencuba dan menunggu sejak 11 pagi tadi.

"Memang sukar untuk menembusi laman web tetapi saya berjaya juga selepas beberapa kali percubaan.

"Saya tak kisah sebenarnya untuk mengambil suntikan vaksin di mana sekalipun kerana apa yang penting mendapatkannya kerana ulama sendiri ada mengatakan kita perlu berikhtiar untuk mencegah penyakit," katanya yang juga anak sulung daripada dua beradik.

Mohd Saiful Ridzuan Mohd Ali, 24, penuntut Sarjana Sains Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pula berkata, dia menggunakan dua peranti sebagai persediaan untuk menempah slot temu janji suntikan vaksin AZ terbabit.

Dia tidak menafikan hampir berputus asa pada mulanya namun tekad mencuba sehingga berjaya.

"Saya tidak sempat membuat permohonan ketika pusingan pertama jadi cuba kali ini kerana mahu mendapatkan vaksin dengan segera.

"Saya bersedia di hadapan peranti pada 11.30 pagi dan agak lama juga menunggu untuk menembusi laman web sebelum berjaya.

"Gembira rasanya dan saya memilih slot temu janji pada 16 Julai di UKM, Bangi," katanya yang menetap di Kajang, Selangor.

Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan inisiatif kerajaan membuka slot tempahan kepada orang ramai bawah usia 60 tahun bermua 12 tengah hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkannya ketika sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tempahan janji temu vaksin AZ itu terbuka kepada mereka yang menetap di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor.

Disiarkan pada: May 26, 2021 @ 2:17pm
d