mutakhir

Penghantar makanan terharu dapat tip RM100

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Perbezaan agama dan bangsa nyata bukan alasan untuk berbuat baik dengan satu sama lain dan nilai murni itu ditunjukkan oleh penghantar makanan, Muhammad Azrul Abu Hassan.

Kisah Muhammad Azrul, 25, tular selepas seorang wanita dipercayai pelanggannya memuat naik hantaran di Facebook (Fb) menceritakan kesungguhan bapa seorang anak itu menghantar makanan kepadanya sehingga ke rumahnya.

Lebih mengagumkan apabila Muhammad Azrul yang menetap di Jalan Padang Tembak, di sini sanggup berpatah balik untuk mengembalikan wang sagu hati diberikan.

Bercerita lanjut, Muhammad Azrul berkata, kisah itu berlaku pada 28 April lalu dan dia sepatutnya menghantar pesanan itu ke sebuah pusat beli belah di Cheras, di sini seperti mana dinyatakan oleh pelanggan berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 9 malam, saya cuba hubungi pelanggan berkenaan namun dia maklumkan sudah pulang ke rumah dan terlupa menukar alamat penghantaran.

"Pelanggan berkenaan minta saya hantar pesanan itu ke rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong dan ikutkan memang jauh daripada lokasi saya berada.

"Kebetulan, ada pesanan lain masuk ketika itu. Jadi, saya terpaksa tolak pesanan baru itu bagi menghantar makanan pelanggan terbabit kerana memikirkannya sudah membuat bayaran penuh," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Muhammad Azrul, pelanggan terbabit tidak berkeras untuk mendapatkan pesanan itu kerana faham dengan kesulitan dihadapinya.

"Dia (pelanggan) juga menawarkan saya mengambil saja makanan dipesannya namun saya enggan terima kerana ia bukan hak saya.

"Jadi, saya ambil keputusan hantar juga makanan itu ke rumahnya dan tiba kira-kira jam 9.30 malam.

"Sebelum pulang, pelanggan itu ada memberi sampul dan disebabkan sudah lewat, saya beredar terus selepas menghantar pesanan," katanya.

Dalam perjalanan pulang, Muhammad Azrul singgah di sebuah stesen minyak dan membuka sampul diterimanya daripada pelanggan berkenaan.

"Terkejut saya apabila melihat sekeping nota wang RM100 dan bagi saya, nilai itu terlalu besar jadi saya ambil keputusan berpatah balik semula ke rumah pelanggan berkenaan bagi memulangkannya.

"Lagipun, saya tidak pernah menerima wang tip sebanyak itu daripada pelanggan jadi serba salah untuk mengambilnya.

"Bagaimanapun, pelanggan itu minta saya gunakan wang diberi untuk keperluan anak jadi saya akhirnya tidak dapat menolak" katanya

Muhammad Azrul berkata, dia tidak tahu kisahnya tular sehingga diberitahu seorang rakannya semalam.

"Saya ada baca komen warganet di laman sosial dan terharu kerana ramai memberi kata-kata semangat.

"Terima kasih saya ucapkan dan semoga kisah itu menjadi iktibar untuk kita semua bersatu padu walaupun hidup dalam negara berbilang bangsa serta agama," katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2021 @ 9:18pm
d