mutakhir

Gangguan teknikal punca kesukaran tempah slot vaksin AstraZeneca

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi orang ramai dalam membuat tempahan vaksin AstraZeneca bagi pusingan kedua hari ini.

CITF dalam kenyataan memaklumkan berlaku gangguan teknikal menyebabkan pengguna menghadapi kesukaran mengakses beberapa butang ciri laman sesawang mereka, semasa tempahan dibuka tengah hari tadi.

"Kami memandang serius masalah berkenaan dan tindakan akan diambil kepada pihak berkaitan demi kepentingan awam serta negara.

"Kami mengambil maklum bahawa ramai rakyat yang berminat untuk divaksin tetapi gagal untuk membuat tempahan," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu, individu yang mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan tetap mendapat suntikan terutama apabila kadar vaksinasi ditingkatkan.

Sebanyak 956,609 tempahan janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca bagi individu berusia 18 tahun ke atas dipenuhi hari ini.

Tempahan itu terbuka kepada mereka yang menetap di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Selangor.

Harian Metro hari ini melaporkan, beberapa individu kecewa apabila gagal membuat tempahan janji temu selepas slot penuh dalam tempoh kurang dua jam.

Disiarkan pada: May 26, 2021 @ 10:50pm
d