mutakhir

Jadi mangsa pemuas nafsu bapa kandung sejak usia 6 tahun

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Tidak tahan menjadi mangsa pemuas nafsu serakah bapa kandungnya selama 12 tahun, seorang wanita tampil membuat laporan polis berhubung kegiatan terkutuk itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan daripada wanita berusia 18 tahun yang mendakwa dicabul bapa kandungnya di ruang tamu rumah di Taman Seri Delima, di sini, Selasa lalu.

"Menurut mangsa dalam kejadian jam 6.30 petang itu, dia didatangi bapanya yang kemudian merabanya.

"Ketika itu ibu mangsa berada di bilik air dan apabila ibunya keluar, lelaki memberhentikan perbuatannya.

"Mangsa mendakwa dia juga dicabul dan dipaksa melakukan seks oleh bapanya sejak berusia enam tahun dan perkara itu berlaku hampir setiap hari, selain pernah liwat ketika berusia 15 tahun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shafee berkata, mangsa yang sudah tidak tahan dengan perbuatan bapanya membuat laporan polis sejurus kejadian terbaru.

"Sebelum ini mangsa tidak melaporkan perkara itu kerana trauma dan takut dengan bapanya, selain tidak mahu menjejaskan hubungan antara ibu bapanya.

"Mangsa adalah anak sulung daripada dua beradik dan ibunya pula adalah suri rumah," katanya.

Shafee berkata, bertindak melalui laporan yang diterima, polis ke rumah mangsa namun suspek yang bekerja sebagai juruteknik kilang berusia 45 tahun itu tiada dipercayai melarikan diri.

"Usaha mengesan suspek kini giat dijalankan untuk membantu siasatan kes ini.

"Polis mengambil lima spesimen barang kes yang berkaitan di rumah mangsa untuk siasatan lanjut, selain membawa mangsa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menjalani pemeriksaan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 28, 2021 @ 4:43pm
d