mutakhir

Kejar 1 jam bot nelayan Vietnam rompak hasil laut negara

Oleh Erika George

Bintulu: Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil masa satu jam bagi mengepung sekaligus menahan dua bot nelayan warganegara Vietnam yang sedang giat mencuri hasil laut di perairan negara pagi semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, semasa aset maritim menjalankan pemantauan di perairan negara pada jam 8 pagi, pasukannya terlihat kelibat dua bot nelayan yang berada dalam keadaan mencurigakan sedang mencari hasil laut di kedudukan 87 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena.

Menurutnya, kawasan berkenaan ujarnya sememangnya kerap dilaporkan berlakunya pencerobohan oleh bot nelayan asing yang mengaut hasil laut secara haram.

"Sebaik sahaja terlihat aset maritim, kedua-dua bot berkenaan cuba untuk melarikan diri, namun berjaya dikepung oleh bot peronda APMM.

"Sejurus berjaya ditahan, pasukan APMM Bintulu mendapati terdapat 25 kru termasuk dua tekong bot yang kesemuanya lelaki berusia antara 20 hingga 50 tahun," katanya.

Effendy berkata berdasarkan pemeriksaan lanjut, 10 tan metrik ikan ditemukan yang dianggarkan bernilai RM 2 juta termasuk dua bot yang ditahan.

"Hasil semakan mendapati dua bot nelayan itu tidak memiliki sebarang dokumen atau lesen daripada Pengarah Perikanan Malaysia bagi menangkap hasil laut di perairan negara.

"25 kru termasuk dua tekong warga Vietnam turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa," katanya.

Kesemua kru termasuk dua tekong dan dua bot terbabit kemudiannya ditahan serta diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan .

Disiarkan pada: May 29, 2021 @ 9:41pm
d