mutakhir

Ajaran Suhaini Bin Mohammad, Si Hulk diharamkan

Oleh Omar Ahmad dan Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan fahaman serta ajaran yang diasaskan Suhaini Bin Mohammad adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam.

Suhaini yang turut dipanggil Suhai Ibni Mohammad, Si Hulk atau apa jua gelaran dikaitkan dengannya, didapati membawa pelbagai fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan Islam, antaranya mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah tuhan.

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata, keputusan mengharamkan ajaran dibawa Suhaini itu dibuat berdasarkan penelitian dan perbincangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 28 September tahun lalu.

"Jabatan Mufti kini sedang dalam tindakan mewartakan fatwa berkenaan supaya boleh dikuatkuasakan.

"Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa fahaman dan ajaran Suhaini Bin Mohammad sebagaimana yang dinyatakan adalah diharamkan dan dilarang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mendapati fahaman dan ajaran bertentangan dengan akidah yang dibawa Suhaini itu terdapat dalam petikan pernyataan dalam YouTube bertarikh 4 April tahun lalu.

Yahya meminta mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah diharamkan dan dilarang berpegang dengan fahaman dan ajaran sesat itu sama ada menjadi pengikut, ahli kumpulan, berada di dalam majlis atau acara yang boleh dikaitkan dengan fahaman serta ajaran terbabit.

"Justeru, fahaman dan ajaran yang dibawa Suhaini Bin Mohammad ini hendaklah disekat dengan apa cara sekali pun daripada disebarkan di Johor dan mana-mana orang Islam yang terbabit dengan ajaran ini hendaklah bertaubat," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 5:06pm
d