mutakhir

Pekerja kedai herba perubatan maut dipercayai dibunuh

Oleh BERNAMA

Ipoh: Seorang pekerja kedai menjual herba perubatan maut dipercayai dibunuh di dalam premis berkenaan di Jalan Guntong berhampiran Pasar Buntong di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian yang menimpa lelaki tempatan berumur 31 tahun dikenali sebagai Boy pada 1.15 tengah hari.

"Semasa kejadian, Boy berada di sebuah bilik di kedai berkenaan sebelum didatangi empat lelaki yang mencarinya.

"Menurut rakan sekerja Boy yang berada di kaunter kedai, dia terdengar bunyi bising kira-kira lima minit di dalam bilik itu dan kemudian melihat Boy seolah-olah dipukul lalu rakannya itu memanggil ambulans," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

A Asmadi berkata, Boy yang bekerja di kedai itu sejak sebulan lalu, disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang hadir ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya tidak menemukan telefon bimbit milik mangsa dan sedang meneliti jika terdapat sebarang senjata digunakan dalam kejadian itu.

"Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah amanah dan dadah. "Jadi, kita melihat dari semua sudut dan latar belakang mangsa dan apa ugutan dia terima daripada mana-mana pihak, sama ada kes ini berkaitan dengan dadah atau sebagainya," katanya.

A Asmadi berkata, pihaknya kini mengesan keempat-empat suspek dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu polis bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 7:02pm
d