mutakhir

Pergerakan pekerja dihadkan hanya 1.5 juta saja

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Penutupan sektor ekonomi turut mengehadkan jumlah pekerja yang bergerak daripada 15 juta kepada 1.5 juta saja.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, justeru semua pihak perlu patuh kepada setiap arahan dikeluarkan oleh kerajaan sebab tujuan pelaksanaannya adalah bagi mengurangkan pergerakan.

"Saya mendapat laporan dalam media sosial yang mana pekerja swasta dipaksa oleh majikan untuk bekerja walaupun kerajaan sudah membuat keputusan hanya 60 peratus dibenarkan bekerja (di tempat kerja).

"Selepas ini pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penguat kuasa Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membuat pemantauan.

"Tindakan paling tegas perlu diambil kepada majikan yang degil. Saya juga berharap pekerja melapor segera sekiranya majikan mereka melanggar arahan yang dikeluarkan kerajaan," katanya dalam sidang media hari ini mengenai perincian Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Sekatan Pergerakan Penuh (SPP), hari ini.

Menurutnya, kepatuhan terhadap sekatan pergerakan itu diyakini boleh melandaikan lengkuk jangkitan kes Covid-19.

"Saya juga berharap pihak swasta turut akan mematuhi arahan kerajaan agar kita sama-sama menang dalam perang melawan pandemik," katanya.

Sementara itu, katanya, taska, tabika, tadika swasta, tadika di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun tidak dibenarkan beroperasi kecuali bagi 'frontliners' dan ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

Turut dijelaskan beliau adalah berkaitan ibadat solat di masjid dan surau yang dihadkan kepada maksimum 12 orang ahli jawatankuasa (AJK), dan tidak dibenarkan melakukan aktiviti selain solat.

"Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat/ Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri," katanya.

Katanya, operasi sektor pertanian, perikanan, penternakan, perladangan dan komoditi tidak terjejas dalam ketika total lockdown.

Beliau berkata, kebenaran beroperasi itu termasuk rantaian dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

Sebagai contoh, katanya, kedai yang menjual baja dan racun atau kilang memproses buah sawit adalah dibenarkan untuk beroperasi.

"Begitu juga perladangan dan komoditi adalah termasuk rantaiannya seperti kelapa sawit, getah, lada dan koko," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 7:25pm
d