mutakhir

Terlepas janji temu vaksin kerana lupa, tidak semak MySejahtera

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan terlupa, antara alasan diberikan penerima yang gagal melapor diri untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pahang.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan peratus ketidakhadiran penerima kurang memuaskan dengan Raub mencatat 45 peratus; Pekan (43 peratus); Maran (40 peratus); Bera (28 peratus); Bentong dan Jerantut masing-masing 22 peratus.

Katanya 18 peratus tidak hadir di Temerloh (18 peratus); Rompin (17 peratus); Kuantan (15 peratus); Lipis (14 peratus) dan Cameron Highlands (9 peratus).

"Tidak menyemak aplikasi MySejahtera maka tidak sedar mengenai lokasi, masa dan tarikh yang ditetapkan untuk menerima vaksin.

"Terdapat juga dalam kalangan warga emas yang berubah fikiran selepas terpengaruh dengan berita tidak sahih mengenai pemvaksinan seperti disampaikan oleh ahli keluarga dan sahabat atau yang tular di media sosial," katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya malam tadi.

Berikutan itu, Wan Rosdy menyeru mereka yang sudah mendaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk selalu menyemak MySejahtera masing-masing bagi mengetahui janji temu suntikan vaksin.

Beliau juga meminta anak yang mempunyai ibu bapa berusia supaya membantu mereka dan sering mengingatkan mereka mengenai tarikh, masa dan lokasi janji temu itu.

"Kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok dan ini hanya boleh dicapai jika sebahagian besar daripada kita sudah disuntik vaksin," katanya yang meminta penduduk Pahang untuk memberikan maklum balas mengenai kegagalan mereka menghadiri janji temu vaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 10:52am
    d