mutakhir

Bendera terpanjang Palestin ada di Melaka [METROTV]

Oleh Amir Mamat

Melaka: Rasa prihatin terhadap kesengsaraan hidup rakyat Palestin dizahirkan penduduk dan UMNO Bahagian Tangga Batu yang bergotong-royong menjahit bendera negara berkenaan sepanjang 1.1 kilometer.

Sokongan itu turut dizahirkan oleh penduduk Kampung Klebang di sini, sekali gus turut diiktiraf sebagai bendera terpanjang dihasilkan di Malaysia.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, pihaknya terpanggil untuk menjahit bendera Palestin bersaiz 1.5 meter lebar itu selepas dicadangkan beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, susulan itu, satu perbincangan khusus diadakan sebelum lapan wanita yang secara sukarela bersedia untuk menjahit bendera berkenaan.

"Mereka mengambil masa kira-kira lapan hari untuk menyiapkan bendera itu. Alhamdulillah bendera itu berjaya dihamparkan di kawasan tambakan laut di Limbongan, di sini," katanya selepas mengetuai program memasang bendera itu tadi.

Dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bendera itu dibawa dari Kampung Klebang sejauh lima kilometer untuk dihamparkan oleh 15 penduduk kampung di lokasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara, berkata, pihaknya akan mendapatkan pengesahan daripada Malaysia Books Of Records (MBR) dalam tempoh terdekat bagi membolehkan pemasangan bendera itu disenaraikan dalam rekod Malaysia

"Bendera berkenaan akan dipasang di mana-mana sekolah atau jabatan kerajaan yang berminat dan saya harap usaha ini dapat mengekalkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah mereka daripada rejim Zionis," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 3:40pm
d