mutakhir

Peniaga tembak kereta bekas isteri direman

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Peniaga direman empat hari bagi membantu siasatan kejadian menembak kereta yang dipandu bekas isterinya di Lorong Jalan Bayam, Tapang di sini.

Lelaki berusia 36 tahun direman bermula hari ini sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu, Nuriza Mustafa.

Terdahulu, lelaki berkenaan tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu pada 10 pagi dengan diiringi anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, lelaki itu ditahan pada 7 pagi semalam di rumahnya di sini.

"Lelaki itu direman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, dilaporkan seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya ditembak pada bahagian cermin belakang dipercayai oleh bekas suaminya pada malam kelmarin di Lorong Jalan Bayam, Tapang.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, wanita berusia 30 tahun itu sedang memandu keretanya bersama tiga anak berusia antara tiga hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah.

Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang memandu kereta secara tiba-tiba terdengar bunyi seakan tembakan dan melihat cermin bahagian belakang sebelah kanan pecah.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 12:59pm
d