mutakhir

Noraifa sudah pergi buat selamanya

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Gadis menghidap kanser otak tahap tiga yang diterbangkan dengan helikopter dari Langkawi ke rumah neneknya di Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena, di sini, meninggal dunia, hari ini.

Noraifa Azira Abdul Aziz, 14, menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya Roslina Aaswira Azmi, 38, dan neneknya Siti Hawa Osman, 63, pada 3.20 petang.

Roslina berkata, anaknya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, selama tiga hari selepas tidak sedarkan diri dan baru dibenarkan keluar wad, semalam.

Menurutnya, ketika berada di rumah, keadaannya masih sama iaitu akan membuka dan menutup matanya.

"Sehinggalah tadi ketika berada di sisinya, saya tidak mendengar bunyi nafas Noraifa, manakala kaki dan tangannya sudah kebiruan lalu terus menghubungi hospital dan pegawai perubatan mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia.

"Saya reda dengan pemergian anak sulung ini selepas enam tahun menderita akibat penyakit berkenaan. Allah lebih sayangkan dia, saya reda sebab dia sudah lama menanggung kesakitan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ibu kepada lima anak itu berkata, jenazah anaknya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena, malam ini.

Pada 2 Mei lalu, Harian Metro melaporkan hasrat seorang remaja itu yang mahu berjumpa nenek dan datuknya untuk menyambut Aidilfitri akhirnya tercapai.

Gadis itu diterbangkan menggunakan helikopter ihsan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim,.

Noraifa sudah terlantar sejak tahun lalu selepas doktor mengesahkan tiada lagi kaedah atau rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya.

Dia juga pernah menjalani pembedahan membuang tumor di kepalanya ketika berusia 11 tahun, namun penyakitnua datang semula.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 6:56pm
d