mutakhir

Perkeso sambut baik lanjutan Program Subsidi Upah

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh pemberian bantuan Program Subsidi Upah (PSU) selama sebulan lagi bagi semua sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed berkata, pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu inisiatif yang banyak membantu majikan dan perusahaan mereka untuk terus bertahan dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

Menurutnya, Perkeso percaya lanjutan PSU 3.0 akan dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan atau mata pencarian kepada pekerja yang majikannya terjejas akibat penutupan kebanyakan sektor ekonomi.

"Inisiatif itu bukti keprihatinan kerajaan yang mendengar dan memahami cabaran dan kesukaran dihadapi oleh golongan majikan yang akan memberi kesan secara langsung kepada pekerja.

"Bagi lanjutan PSU ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.5 billion untuk disalurkan kepada majikan yang terkesan, terhad kepada 500 pekerja bagi setiap permohonan kepada Perkeso.

"Pemberian insentif ini dijangka akan memanfaatkan seramai 2.5 juta pekerja dan lebih 220,000 majikan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Mohammed Azman berkata, Perkeso akan melanjutkan tarikh akhir permohonan PSU daripada 30 Jun ke 31 Julai depan.

Katanya, subsidi itu akan dipanjangkan secara automatik kepada majikan yang sudah memohon di bawah PSU 3.0.

"Mereka hanya perlu mengemaskini senarai pekerja sebelum tarikh 15 hari bulan pada bulan yang berkenaan.

"Bagi majikan yang sudah memohon PSU 1.0 atau PSU 2.0 tetapi tidak untuk PSU 3.0, mereka perlu membuat permohonan baharu (di bawah PSU 3.0)," katanya.

Sejak diperkenalkan pada 1 April tahun lalu, PSU berjaya membantu majikan yang terkesan dari segi ekonomi akibat Covid-19 atau penutupan operasi semasa PKP supaya dapat meneruskan operasi syarikat tanpa memberhentikan mana-mana pekerja.

Ia secara langsung mengelakkan pekerja daripada hilang punca pendapatan.

PSU adalah bantuan kewangan yang dibayar kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah.

Sehingga 30 Mei lalu, Perkeso meluluskan sebanyak 330,586 permohonan daripada majikan yang memberi manfaat kepada seramai 2.72 juta pekerja dengan jumlah keseluruhan bayaran sebanyak RM15.04 bilion.

Soalan lazim berkenaan lanjutan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PEMERKASA+ akan dimuat naik ke laman web rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my dalam masa yang terdekat.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi nombor Careline Perkeso 1-300-22-8000.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 7:36pm
d