mutakhir

[TERKINI] Dua remaja perempuan ditemukan

Oleh Juwan Riduan

Putatan: Dua daripada empat mangsa yang hilang ketika mandi di Pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, di sini, petang tadi, berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penemuan pertama kira-kira jam 8.20 malam itu dilaporkan membabitkan seorang remaja perempuan.

Mangsa ditemukan di lokasi pencarian oleh pasukan penyelamat yang melakukan pencarian di kawasan permukaan.

Remaja perempuan itu diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Terkini sekitar jam 9 malam, wartawan Harian Metro yang berada di lokasi kejadian melaporkan penemuan seorang lagi mangsa perempuan yang identitinya belum dikenal pasti.

Difahamkan, mangsa akan diberikan rawatan awal sebelum dikejarkan ke HQEI untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Usaha mencari dan menyelamat dua lagi mangsa diteruskan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, empat termasuk tiga beradik dikhuatiri lemas selepas mandi di pantai Gorongon, berhampiran Kampung Contoh, Putatan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, empat mangsa berusia 8 hingga 17 tahun terbabit dikatakan bersama empat lagi rakan mereka ke pantai berkenaan untuk mandi.

Bagaimanapun, arus air laut berkenaan dikatakan tiba-tiba deras sebelum menghanyutkan kelapan-lapan mangsa.

Empat mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Korais Amit, 8, Norain Amit, 13, Rafidah Amit, 14, dan Dalang Amit, 17 tahun.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 9:15pm
d