mutakhir

Timbus lubang lorong tikus untuk rentas negeri

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Polis kecewa dengan tindakan individu menimbus semula lubang yang dibuat di lorong tikus di Kampung Tanah Puteh di sini.

Berikutan itu, polis memberi amaran terhadap sesiapa yang berbuat demikian dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Difahamkan, tindakan menimbus lubang itu dibuat untuk membolehkan lorong tikus itu digunakan bagi megelak daripada melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya mengesan satu daripada enam lubang di lorong tikus yang digali polis untuk menutup laluan ditimbus semula.

Menurutnya, ada juga penghadang konkrit yang diletakkan di lorong tikus dipecahkan.

"Polis akan menggali semula lubang yang ditimbus itu supaya tidak ada ruang rentas negeri tanpa kebenaran dapat dilakukan.

"Kita menutup lorong tikus dengan menggali lubang sebelum Aidilfitri lalu, susulan ramai yang menggunakan laluan itu bagi mengelak daripada diperiksa di SJR.

"Tindakan kita menggali lubang, menimbun tanah dan meletakkan penghadang konkrit dan besi itu usaha terakhir serta lebih berkesan untuk menghalang orang ramai menggunakan lorong tikus bagi merentas negeri," katanya selepas meninjau enam lorong tikus di Kampung Tanah Puteh di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Sik berkata, keadaan trafik memasuki Kelantan melalui SJR Kampung Tanah Puteh lengang dengan kenderaan pada hari pertama sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan bermula semalam.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 11:26am
d