mutakhir

Simpatilah pada 'wira' kita...

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Lonjakan kes jangkitan Covid-19 sejak beberapa bulan lalu mengakibatkan kebanyakan petugas barisan hadapan menghadapi masalah kekurangan bekalan pakaian perlindungan diri (PPE).

Isu ini dikesan berlaku di kebanyakan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital kerajaan susulan pertambahan bilangan pesakit Covid-19 diterima ketika ini.

Menyedari kesulitan dialami, Penasihat Kelab Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Wilayah Persekutuan, Pesuruhjaya Kehormat RELA, Datuk Seri Michael Chong bertindak membelanjakan lebih RM40,000 untuk membeli PPE.

Kelengkapan PPE itu kemudian diserahkan kepada pihak pengurusan Hospital Sungai Buloh dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia daerah Petaling (KKM Petaling) baru-baru ini.

Penyerahan PPE itu disampaikan Michael Chong bersama penasihat Kelab Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Wilayah Persekutuan, Dr Santha Kumari dan Low Chee Haur kepada Pengarah Hospital Sungai Buloh, doktor Kuldip Kaur dan pegawai Perubatan Kanan KKM Petaling, Doktor Shiela Christabel.

Chong memaklumkan bahawa sebahagian PPE itu turut disumbangkan syarikat Jasacare, Universal Nutri Beverage dan Joleda Glove.

"Saya terharu berikutan masih ramai pihak yang bersimpati terhadap peranan dan jasa besar disumbangkan petugas barisan hadapan ini.
"Saya berharap pihak kerajaan mempercepatkan proses vakisinasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia bagi membolehkan kes jangkitan Covid-19 dilandaikan semula. Ini sekaligus dapat memastikan penurunan kes jangkitan dan kematian harian yang tinggi," katanya.

Beliau yakin, proses vakisinasi yang dipercepatkan kepada rakyat turut mampu membantu petugas barisan hadapan yang kini keletihan selepas 'berperang' dengan pandemik ini sejak lebih setahun lalu.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 11:04pm
d