mutakhir

58 kilang di Sabah dibenar operasi 24 jam

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah membenarkan sebanyak 58 kilang berkaitan industri sawit dan pembinaan beroperasi 24 jam sehari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kilang terbabit terdiri daripada kilang penapisan minyak sawit, kilang pemprosesan kelapa sawit, kilang biodiesel, kilang baja kimia, kilang pemprosesan Spent Bleaching Earth, kilang besi dan keluli serta kilang simen.

Beliau berkata, kebenaran beroperasi 24 jam sehari itu mengambil kira aspek mekanikal kilang terbabit yang memerlukan masa panjang untuk menghidupkan semula mesin, jika operasinya dihentikan.

"Pemberhentian mesin dan menghidupkan semula mesin seperti relau dan boiler akan mengambil masa yang panjang selain akan merosakkan mesin sekiranya diberhenti dan dihidupkan semula terlalu kerap.

"Bagaimanapun, kehadiran pekerja yang dibenarkan di kilang terbabit adalah tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah kakitangan sedia ada," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Masidi berkata, kerajaan negeri turut membenarkan pelabuhan di bawah Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (LPPS) beroperasi 24 jam sepanjang tempoh PKP kali ini.

Selain itu, katanya operasi jeti dalam kawasan persendirian utama yang memerlukan pengoperasian berterusan atas keperluan produk atau kargo import dan eksport juga dibenarkan beroperasi 24 jam.

"Bagaimanapun, operasi sektor logistik pengangkutan darat dan penstoran adalah dihadkan antara 6 pagi hingga 8 malam," katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, nelayan di negeri ini yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di persisiran pantai dinasihatkan untuk mendapatkan surat pengesahan Jabatan Perikanan Sabah untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Bagi operasi gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan katanya, kerajaan membenarkan pembukaannya sepanjang PKP 3.0 bagi membolehkan petani dan nelayan menjual hasil tanaman dan tangkapan mereka.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 9:50am
    d