mutakhir

Masih nak berlumba lagi?

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Sekumpulan mat rempit bertempiaran lari ke semak bagi mengelak dicekup selepas lokasi tumpuan mereka di Jalan Ibok-Paman di sini, diserbu polis semalam.

Bagaimanapun, cubaan mereka melarikan diri hanya sia-sia apabila laluan berkenaan dikepung polis dalam Ops Samseng Jalanan pada jam 6.30 petang.

Bukan itu saja, seramai 14 daripada 65 individu yang diperiksa di lokasi kejadian diarahkan menolak motosikal sejauh lima kilometer bermula dari Mak Chili ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi membabitkan 25 pegawai dan anggota itu dilakukan pihaknya susulan maklumat awam mengenai aktiviti remaja di kampung berkenaan yang berkumpul ketika pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (SPP) sempena Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

"Kebanyakan yang hadir di situ hanya menjadi penonton dengan tiga daripadanya berlumba tanpa membabitkan pertaruhan dan mendakwa sekadar suka-suka.

"Dalam operasi ini, sebanyak 60 motosikal dan 65 lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun diperiksa sebelum 14 daripadanya ditahan.

"Kita turut menyita 14 motosikal dan mengeluarkan 52 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik seperti nombor pendaftaran, lesen dan cermin sisi ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanyan berkata, pihaknya memandang serius aktiviti perkumpulan memandangkan negara sedang melaksanakan SPP dalam usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

Katanya, ibu bapa atau penjaga diminta memantau pergerakan anak dan tidak membenarkan mereka keluar tanpa sebab ketika pelaksanaan SPP ini.

"Walaupun sekadar berkumpul di dalam kampung, ia tetap menjadi kesalahan dan boleh dikenakan kompaun kerana pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kita harap ia tidak berlaku lagi kerana masih ada masyarakat memandang remeh arahan kerajaan yang melaksanakan SPP yang bertujuan membendung penularan Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 11:50am
d