mutakhir

Kilang tutup, hampir 300 pekerja positif Covid-19

Oleh Amir Mamat

Melaka: Sebuah kilang elektronik di Batu Berendam, di sini, diarah tutup sepenuhnya selama seminggu berikutan penularan mendadak wabak Covid-19 membabitkan pekerjanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan terbabit terpaksa dilakukan selepas 299 pekerja kilang elektronik terbesar di Melaka itu termasuk beberapa ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19.

"Arahan penutupan serta-merta itu bagi membolehkan Jabatan Kesihatan negeri menjalankan siasatan lanjut punca penularan wabak selain mengesan kontak rapat yang pernah berhubung dengan pekerja kilang berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Rahmad berkata, pusat pentadbiran kerajaan Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini, juga diarah tutup selama seminggu bermula 31 Mei lalu sehingga hari ini selepas tujuh kes positif Covid-19 dikesan di lokasi terbabit.

Katanya, penutupan itu bagi membolehkan pengesanan kontak rapat, saringan serta sanitasi dilakukan Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

"Setakat ini, tujuh kes positif dikesan membabitkan enam kes di Blok Bentara (Kewangan) manakala satu lagi kes di Blok Laksamana.

"Sebanyak 178 saringan sudah dilakukan ke atas rakan sekerja dan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 terbabit.

"Bagaimanapun punca jangkitan ketujuh-tujuh kes berkenaan masih belum diketahui dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 5:24pm
    d