mutakhir

Covid-19: Peningkatan kes kritikal, kematian kanak-kanak membimbangkan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Peningkatan kes kritikal dan kematian akibat Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun di negara ini agak membimbangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak tiga kes kematian Covid-19 yang membabitkan kanak-kanak bawah usia lima tahun dilaporkan sepanjang 2020.

Namun, beliau berkata, bilangan yang sama sudah direkodkan dalam tempoh lebih singkat iaitu tiga kematian dalam lima bulan pertama tahun ini.

"Selain itu, kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

"Pada 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan kes yang mana enam daripadanya berusia bawah lima tahun.

"Bagi 2021 (sehingga Mei 2021), sebanyak 27 kes memerlukan rawatan di ICU dan 19 kes daripadanya adalah kanak-kanak berumur di bawah lima tahun," katanya dalam kenyataan media mengenai Dr situasi semasa Covid-19, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) amat berharap supaya semua pihak terutama ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak supaya terhindar dari virus Covid-19.

"Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 7:31pm
    d