mutakhir

Mampu kaut untung sehingga RM600,000 sebulan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis menahan sembilan individu termasuk seorang lelaki warga China yang disyaki terbabit dengan sindiket 'Calling Centre' dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan Taman Gunung Tahan, Jalan Kuala Kedah, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, semua yang ditahan dalam serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah pada 3 petang itu berusia antara 21 hingga 36 tahun.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa unit komputer riba pelbagai jenama, beberapa unit telefon bimbit pelbagai jenama dan beberapa unit mobile wifi yang disyaki digunakan untuk tujuan menipu mangsa.

"Siasatan awal mendapati semua tangkapan mengaku menjalankan aktiviti penipuan pelaburan mata wang asing dan krypto.

"Semua suspek yang ditahan dipercayai dibayar gaji kira-kira RM3,000 sebulan. Aktiviti ini dipercayai aktif sejak dua bulan lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Roze berkata, sindiket mampu mengaut keuntungan berjumlah lebih RM500,000 sehingga RM600,000 sebulan.

Katanya, modus operandi yang digunakan dalam aktiviti ini adalah setiap sindiket akan mewujudkan satu "WhatsApp Group" dan mempromosikan pelaburan dengan cara berinteraksi secara dua hala supaya pelanggan akan lebih yakin untuk melabur.

"Ahli sindiket ini kemudian akan memperdayakan mangsa untuk melabur di dalam laman sesawang "Bittbay88.com" sebelum menipu mangsa.

"Sindiket ini juga turut mensasarkan mangsa dari negara-negara di benua Asia," katanya.

Katanya, hasil semakan mendapati, dua lelaki yang ditahan ini masih dikehendaki polis berkaitan kes dadah dan Akta Imigresen.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Pertaruhan 1953, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pin 2021).

Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 10:41pm
d