mutakhir

80 peratus peniaga kecil tiada simpanan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Majoriti usahawan mikro, kecil dan informal tidak mempunyai simpanan yang kukuh untuk meneruskan perniagaan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, ia disebabkan keadaan tidak menentu akibat Covid-19 sejak lebih 15 bulan lalu.

Menurutnya, terdapat peniaga yang terpaksa menggunakan simpanan perniagaan untuk meneruskan hidup kerana tiada pendapatan sampingan lain.

"Lebih 80 peratus usahawan mikro, kecil dan informal ini bergantung kepada pendapatan harian hasil perniagaan.

"Apabila perniagaan terjejas kerana ketiadaan pelanggan menyebabkan pendapatan mereka turut terjejas," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, dapatan kaji selidik Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) sudah dijangka berdasarkan trend ekonomi domestik sepanjang 15 bulan ini.

Katanya, usaha menukar model perniagaan konvensional kepada digital disokong walaupun penerimaannya agak perlahan dalam kalangan peniaga.

"Persatuan juga sudah bertemu Medac bagi membincangkan cadangan pendigitalan perniagaan sehingga terhasilnya Warongku sebagai platform perniagaan digital.

"Menerusi inisiatif terbaru ini, peniaga kecil boleh menggunakan platform digital bagi memasarkan produk dan perkhidmatan berbanding bergantung seterusnya kaedah konvensional," katanya.

Menurutnya, peniaga kecil juga perlu lebih terbuka dan menerima konsep pendigitalan secepat mungkin agar perniagaan mereka terus berkembang dalam suasana ekonomi tidak menentu ini.

Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 1:27pm
d