mutakhir

Patah pinggang elak dicekup polis [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Tindakan nekad tiga individu terjun dari tingkat tiga bagi mengelak dicekup sepasukan anggota polis yang melakukan serbuan di rumah kedai di Kampung Simee di sini, semalam, membawa padah apabila mereka cedera teruk.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, serbuan jam 4.15 petang semalam itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan polis berjaya menahan 11 individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul di dalam premis itu untuk bermain judi.

"Apabila pemeriksaan dilakukan seramai 11 lelaki berkumpul dalam premis berkenaan untuk bermain judi jenis Gin Rummy batu.

"Oleh kerana terkejut dengan kehadiran polis, tiga daripada mereka terjun dari tingkap sehingga mengakibatkan seorang patah pergelangan tangan, bahu dan pinggang, seorang patah kedua-dua kaki dan seorang lagi patah tulang rusuk dan tangan kiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.

A Asmadi berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, dalam serbuan polis turut merampas meja Gin Rummy, 114 biji Gin Rummy batu, dua biji dadu, 119 token, lima kerusi sandar dan dua kerusi plastik.

Beliau berkata, semua tangkapan berusia 41 sehingga 66 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

"Kesemua mereka ini menetap di Ipoh dan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga laporan pakar judi diperolehi.

"Tangkapan juga dikenakan kompaun RM10,000 bagi setiap individu dan seorang daripada tangkapan iaitu pemilik premis dikompaun RM25,000 kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) ARJT 1953 iaitu berjudi dalam premis dan boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 1:46pm
d