mutakhir

Pulau Pinang teruskan PSR

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pulau Pinang terus kekal dengan pendiriannya bagi melaksanakan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, ia berikutan projek itu sudah dirancang dengan teliti dan berpotensi menjadi pembangunan mampan yang mematuhi piawaian persekitaran, sosial dan tadbir urus antarabangsa.

Malah katanya, ia juga bakal menjadi pemangkin bagi pelaburan asing dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta dapat menghalang penghijrahan keluar modal insan dan menarik bakat terbaik ke Pulau Pinang.

"Saya sudah menjawab isu berkenaan dengan panjang lebar mengenai impak sosial dan alam sekitar sebelum ini dan tidak akan mengulanginya," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Zairil berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang mahu projek itu dibatalkan kerana akan memberi kesan serius dan negatif kepada sosioekonomi serta alam sekitar.

Menurut Zairil, projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 300,000 peluang pekerjaan dan menarik pelaburan asing bernilai RM70 bilion sepanjang tempoh masa 30 tahun.

"Sekiranya pembinaan dimulakan tahun ini, kita menyasarkan sebanyak 5,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam lingkungan masa tiga tahun di samping suntikan dana bernilai RM7 bilion ke dalam ekonomi tempatan semasa tambakan pulau yang pertama," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 4:27pm
d