mutakhir

Usahawan sediakan pengangkutan bawa warga emas ke PPV [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Prihatin dengan nasib warga emas yang mempunyai kekangan untuk hadir ke temujanji vaksinasi, seorang usahawan mengambil inisiatif menawarkan khidmat pengangkutan percuma ke Pusat Perkhidmatan Vaksinasi (PPV).

Ratna Salsabella Ismail, 31, memulakan aktiviti kebajikan itu sejak tiga minggu lalu sebaik membaca laporan di akhbar tentang sejumlah besar rakyat Kelantan tidak hadir untuk temujanji vaksinasi kerana masalah pengangkutan.

Katanya, dia menyedari majoriti warga emas khususnya di kawasan pedalaman tidak mempunyai kenderaan selain anak-anak yang berada jauh di luar Kelantan menyebabkan mereka terlepas menghadiri janji temu vaksinasi.

"Saya menggunakan tiga kereta sendiri dengan dibantu abang, Ahmad Firdaus Ismail (37) serta kakak ipar, Nur Badariah Mohd Din (31).

"Pada awalnya, idea ini hanya untuk membantu golongan warga emas di sekitar Kampung Telipot, Kota Bharu sahaja sebelum diperluaskan ke Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok.

"Malah, PPV di seluruh Kelantan turut mempromosikan poster perkhidmatan kami bagi memudahkan orang ramai untuk menelefon jika mempunyai masalah pengangkutan," katanya ketika ditemui di premis Kelantan Medical Shoes miliknya di Jalan Telipot di sini, hari ini.

Ratna yang juga Ketua Wanita Muda (WARDA) Amanah Negeri Kelantan berkata, pihaknya bukan sahaja mengambil dan menghantar warga emas, malah turut membantu proses pendaftaran sehingga vaksin diambil termasuk, mendaftarkan mereka melalui aplikasi MySejahtera.

"Kebanyakan warga emas yang menggunakan khidmat ini berusia lingkungan 57 sehingga 105 tahun, yang mana anak-anak mereka berada jauh di perantauan dan tidak boleh balik ke kampung susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

"Jujurnya, pelbagai ragam yang perlu kami hadapi termasuk menjadi 'kaunselor' sepanjang perjalanan bagi menenangkan warga emas yang ada masanya risau untuk mengambil vaksin. Namun, majoriti daripada mereka sangat positif dan menerima baik suntikan vaksin ini memandangkan wabak Covid-19 semakin meningkat.

"Biasanya, kami membawa enam hingga lapan orang sehari mengikut susunan jadual yang ditetapkan bergantung kepada lokasi PPV yang perlu mereka hadiri," katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Menurutnya, usahanya itu turut mendapat sokongan penuh daripada suami, Nik Rominor Mamat, 50, yang banyak membantu daripada segi kewangan dan sokongan moral.

Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 5:15pm
d