mutakhir

Tahniah Mr Pillai...

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun merakamkan ucapan tahniah kepada anak jati Seremban K Thiruvenkatar atau Chris Pillai yang dilantik sebagai Datuk Bandar Calderdale, Yorkshire Barat, England pada 19 Mei lalu.

Aminuddin berkata, pelantikan itu ini satu kebanggaan bukan sahaja buat Negeri Sembilan tetapi Malaysia.

"Mewakili rakyat Negeri Sembilan, saya mendoakan Pillai dapat memberikan perkhidmatan terbaik buat masyarakat di Calderdale," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau difahamkan Pillai melapor diri secara rasmi sebagai Datuk Bandar di Pejabat Datuk Bandar Borough of Calderdare dalam satu majlis yang dianjurkan Halifax Minster.

Katanya, difahamkan beliau memegang banyak peranan dalam sektor penjagaan kesihatan seperti jururawat kanan di Greenwich Area Health Authority, London (1984-1988).

Selain itu, beliau juga adalah pengarah/rakan kongsi di Ivy House Nursing and Residential Home, Brighouse (1989-2004) dan pengarah bukan eksekutif di South West Yorkshire Mental Health Trust (2002-2006).

Berdasarkan laporan media, Pillai sepatutnya memegang tanggungjawab itu pada tahun lalu, namun akibat daripada pandemik Covid-19, Datuk Bandar Dot Foster meneruskan peranannya sementara waktu.

Pillai dilaporkan berkata, pihaknya melahirkan rasa bertuah kerana dipilih sebagai Datuk Bandar berasal dari Malaysia dan yang pertama di bandar bersejarah Yorkshire Barat.

Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 6:34pm
d