mutakhir

KKM kesan satu kluster kematian

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Satu daripada 23 kluster jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di negara ini setakat tengah hari tadi, dikesan hasil saringan kematian pada 1 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Pulutan yang dikesan di Kampung Pulutan, Sepulut, Nabawan, Sabah, kini sudah menjangkiti 11 individu.

"Kes indeks bagi kluster ini seorang wanita Warganegara Malaysia berusia 56 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Jun 2021 hasil saringan kematian.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Pulutan, Sepulut, Nabawan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengesan dua kluster berkaitan aktiviti kunjung mengunjung sempena perayaan iaitu Kluster Bunut dan Kluster Dah Rimba dan dua kluster membabitkan pengkebumian (Kluster Alor Serdang dan Kluster Dah Fajar).

Bagi Kluster Bunut, ia membabitkan aktiviti ziarah-menziarahi antara 12 hingga 14 Mei lalu di Kampung Bunut, Mukah sempena sambutan perayaan.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster ini seorang wanita warganegara Malaysia berusia 38 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 23 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

Katanya, kes mula bergejala pada 19 Mei dan sehingga ini sudah menjangkiti 35 individu di Mukah dan Sibu.

Kluster Dah Rimba pula membabitkan aktiviti ziarah-menziarahi di Kampung Charuk Kudung dan Kampung Charuk Kit, Jalan Rimba Taqwa, Sik sempena sambutan perayaan.

KKM mengesan kes indeks bagi kluster ini seorang wanita warganegara Malaysia berusia 33 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 29 Mei lalu hasil saringan kontak rapat dan kini kluster ini sudah menjangkiti 35 individu.

"Kluster Alor Serdang membabitkan individu-individu yang menghadiri sebuah majlis pengebumian di Kampung Alor Serdang, Jerteh, Setiu, Terengganu.

"Kes indeks bagi kluster ini seorang wanita warganegara Malaysia berusia 50 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

"Wanita ini mula bergejala pada 19 Mei dan setakat ini kluster terbabit sudah menjangkiti 58 individu," katanya.

Beliau berkata, Kluster Dah Fajar pula membabitkan satu majlis pengebumian yang diadakan di Jalan Fajar, Felda Lubuk Merbau, Kuala Nerang, Padang Terap pada 15 Mei lalu.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu seorang wanita berusia 37 tahun, yang juga warganegara Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Mei 2021 hasil saringan individu bergejala dan mula bergejala pada 20 Mei Makala seramai 24 individu dikesan positif dalam kluster ini.

Sementara itu, sebanyak 23 kluster yang dilaporkan hari ini menyumbang kepada sejumlah 2,284 kluster jangkitan Covid-19 di negara ini, setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 1,593 kluster sudah ditamatkan setakat ini dan sebanyak 691 kluster masih aktif.

Disiarkan pada: June 4, 2021 @ 10:19pm
d