mutakhir

SOP ketat, lengkap vaksin dibenar daki Gunung Kinabalu selepas tamat PKP

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Taman-Taman Sabah akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat untuk aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu akan datang bagi mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pendaki dan malim gunung.

Pengarahnya Dr Maklarin Lakim berkata, SOP itu termasuk hanya membenarkan pendaki yang sudah menerima vaksin akan dikuatkuasakan sejurus aktiviti pendakian dibuka semula selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

"Langkah pencegahan yang ketat akan dilaksanakan seperti mewajibkan ujian calitan saringan Covid-19 kepada semua pendaki kecuali yang sudah menerima vaksin," katanya pada Program Memperingati Gempa Bumi Gunung Kinabalu yang diadakan secara dalam talian, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya sedar banyak pihak terjejas akibat penutupan gunung tertinggi Asia Tenggara itu, namun langkah berkenaan terpaksa dilakukan selaras dengan penguatkuasaan PKP dan memastikan kawasan Taman Kinabalu bebas daripada jangkitan Covid-19.

Selain malim gunung, katanya, ramai lagi pihak lain terjejas termasuk porter atau pengangkut barang, ejen pelancongan dan pengendali penginapan di Taman Kinabalu serta peniaga di sekitarnya.

"Taman-Taman Sabah akan memastikan aktiviti pendakian dibuka segera sejurus kawalan pergerakan dilonggarkan dan ada kebenaran untuk aktiviti pendakian supaya rantaian ekonomi yang terjejas itu dapat dihidupkan semula.

"Bagaimanapun, SOP ketat terpaksa dilaksanakan kerana kita tidak mahu berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan pendaki ketika aktiviti pendakian dilakukan," katanya.

Penutupan aktiviti pendakian sepanjang PKP turut menyebabkan Taman-Taman Sabah menerusi Taman Kinabalu tidak dapat mengutip hasil daripada pendaki seperti yang berlaku selepas gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Richter pada 5 Jun 2015.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Operasi) Taman-Taman Sabah, Maipol Spait, berkata, ketika penutupan aktiviti pendakian akibat gempa bumi enam tahun lalu, Taman-Taman Sabah hilang pendapatan kira-kira RM6.7 juta.

"Kehilangan pendapatan itu akibat penutupan Gunung Kinabalu selama 234 hari bermula selepas gegaran kuat gempa bumi pada 5 Jun 2015.

"Pada masa yang sama seramai 250 malim gunung dan 50 porter juga hilang kerja dalam tempoh itu membabitkan kehilangan pendapatan sebanyak kira-kira RM2.7 juta," katanya.

Golongan berkenaan sekali lagi berdepan kehilangan pendapatan apabila PKP pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu sebelum disusuli sekatan lain sehinggalah sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan ketika ini.

Mereka bagaimanapun tersenarai sebagai antara penerima bantuan disediakan kerajaan negeri dan Pusat bagi mengurangkan bebanan golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 5:55pm
d