mutakhir

Lelaki buat ciapan pembelian vaksin ditahan polis

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jurujual peralatan komputer ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu ciapan di Twitter berkaitan pembelian vaksin oleh kerajaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Siasatan dan Perundangan) Bukit AmanDatuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan di Kota Damansara pada 12.05 tengah malam semalam.

"Tangkapan dibuat oleh sepasukan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) JSJ Bukit Aman hasil laporan 'profiling' yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Kita turut merampas seunit telefon bimbit, router dan modem yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata, ciapan di akaun Twitter, abah@chairmanGLC itu dimuat naik pada 29 Mei lalu dan mendapat 4,707 ciapan semula, 115 ciapan semula bersama komen dan 3,783 tanda suka.

"Susulan tangkapan itu, suspek direman selama satu hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021," katanya.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat atau berkongsi apa-apa penerbitan yang mengandungi berita tidak benar dan boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan orang ramai berhubung langkah diambil kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga boleh mengganggu keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 8:52pm
d