mutakhir

Harimau 'tercekik' mati dijangkiti virus

Oleh BERNAMA

Ipoh: Seekor harimau dahan jantan yang ditangkap selepas berkeliaran di belakang rumah penduduk di Kampung Bukit Bertam, Selama, pada Rabu lalu disahkan mati akibat jangkitan virus, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitian).

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata, hasil ujian darah oleh doktor veterinar selepas ia dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai mendapati haiwan itu positif Virus Canine Distemper (CDV).

"Harimau dahan ini mati pada 12 tengah malam Khamis lepas sebelum proses ditidurkan dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, haiwan itu sudah dilupuskan berikutan penyakit berkenaan mudah berjangkit dan virus itu kebiasaannya dibawa oleh haiwan domestik seperti anjing dan kucing.

Kehadiran harimau, yang dianggarkan berusia antara tujuh hingga lapan tahun itu, ditemukan penduduk dalam keadaan seakan-akan ingin memuntahkan sesuatu.

Haiwan itu dipercayai keluar dari Hutan Simpan Bintang Hijau yang terletak berhampiran kampung berkenaan untuk mencari makanan.

Berita berkaitan

Harimau tercekik gemparkan penduduk

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 9:54pm
d