mutakhir

Waspada anak kecil beli tembakau melalui atas talian

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Putrajaya: Kegusaran wujud apabila terdapat syarikat tembakau dikesan menggunakan pengaruh media sosial dalam mempromosikan produk mereka.

Perkara itu didedahkan Ketua Penyelidikan dan Advokasi, Pusat Global dalam Pemerintahan Baik dalam Pengawalan Tembakau (GGTC), Mary Assunta susulan kebimbangan kawalan dan pembabitan golongan remaja serta kanak-kanak dalam salahguna tembakau.

Menurutnya, penyelidikan dilakukan mendapati ada syarikat tembakau mengambil inisiatif mempromosikan rokok dan tembakau kepada anak-anak muda secara berterusan sejak beberapa dekad lalu.

"Selain bentuk bungkusan kecil bagi menarik perhatian kanak-kanak, terdapat syarikat tembakau menggunakan media sosial untuk menarik perhatian golongan muda.

"Produk tembakau adalah bukan produk keutamaan dan sekiranya terdapat larangan mempromosikan tembakau, ia termasuk pengiklanan secara atas talian," katanya menerusi webinar Role of WHO FCTC Article 5.3 dan Ending Promotion to Adolescents tadi.

Justeru, Assunta menyeru ibu bapa memberi perhatian kepada anak-anak yang membuat pembelian bahan tembakau secara atas talian.

"Malah satu mekanisma perlu dilaksanakan di mana orang awam boleh membuat laporan sekiranya terdapat penggunaan tembakau pada kanak-kanak bawah umur dan tindakan boleh diambil berdasarkan laporan dibuat," katanya.

Beliau turut menyelar wujudnya segelintir badan bukan kerajaan (NGO) mempromosikan tembakau sekaligus memberikan impak negatif terhadap fungsi sebenar NGO yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

"Isu ini bukan sahaja berlaku di luar negara, malah juga di Malaysia. Mengikut kepada Artikel 13 Konvensyen Rangka Kerja Organisasi Kesihatan Sedunia mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC), pengiklanan dan penajaan tembakau adalah dilarang.

"Oleh itu, aktiviti seperti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mempunyai kaitan dengan tembakau adalah satu bentuk penajaan dan ia perlu dihentikan," katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil contoh negara seperti Indonesia dan Myanmar di mana Kementerian Kesihatan merangka tata kelakuan di mana hanya berinteraksi dengan industri tembakau ketika perlu sahaja.

"Ia akan dapat mengawal di mana kita tiada situasi dan penyertaan dalam aktiviti menyokong atau kolaborasi bersama industri tembakau," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 10:03pm
d