mutakhir

Ribut 30 minit [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Beberapa peniaga makanan mengalami kerugian ribuan ringgit susulan gerai mereka musnah dilanda ribut di hadapan Masjid Kampung Sireh, di sini, 4.30 petang, semalam.

Tinjauan ke lokasi kejadian malam tadi menunjukkan tiga gerai mengalami kerosakan teruk seperti khemah, meja serta kerusi rosak selain beberapa almari kaca pecah akibat kejadian berkenaan.

Peniaga, Nur Manto Ariffin, 50, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri, Nuraini Abd Hamid, 47 dan anak, Muhammad Farith Firdaus, 22, baru sahaja ke gerai dan bersiap sedia untuk berniaga masakan panas sebelum hujan tiba-tiba turun dengan lebat berserta ribut.

"Ia ribut luar biasa kerana dengan sekelip mata sahaja khemah kami seperti hendak diterbangkan angin. Namun, saya sempat memegang kuat sambil dibantu anak kerana tidak berdaya melakukannya seorang diri.

"Hampir 30 minit kami berhadapan detik cemas ini, malah cermin kaca tempat menyimpan makanan juga jatuh dan pecah, tidak dapat diselamatkan selain saya sempat melihat khemah milik gerai sebelah yang mula dibawa angin ke jalan raya berdekatan.

"Saya mengalami kerugian lebih RM3,000 disebabkan kejadian ini, dan berasa agak terkilan kerana kami baru sahaja mahu memulakan semula perniagaan ketika sekatan penuh pergerakan (SPP) dilaksanakan," katanya yang sudah 22 tahun berniaga di gerai masakan panas terbabit.

Bagi Norihan Aryatul, 42, kejadian ribut semalam adalah pengalaman menakutkan kerana dia hanya mampu melihat khemah serta peralatan lain di gerai miliknya musnah dibawa angin kerana terpaksa menyelamatkan diri.

"Ribut ini bukan sekejap seperti biasa, ia berlaku dengan agak lama dengan bunyi guruh dan angin kuat yang menakutkan. Saya hanya mampu beristighfar dan berdoa semoga i cepat reda selain risau keselamatan rakan peniaga lain yang masih di bawah khemah untuk menyelamatkan barangan.

"Sedih rasanya apabila berlaku begini, kerana semalam, saya baru sahaja membuka gerai selepas ditutup selama dua minggu, namun kini, kedai pula musnah. Saya pun sudah kekurangan modal untuk kembali berniaga.

"Bagaimana pun, kami reda dan bersyukur kerana tiada yang cedera namun perlu kuat dan mencari wang untuk membaik pulih gerai ini supaya boleh kembali berniaga seperti biasa," katanya yang juga mengalami kerugian ribuan ringgit.

Susulan ribut terbabit juga, beberapa rumah di flat Kampung Sireh berdekatan turut terkesan apabila bumbung rumah mereka dibawa angin sehingga menyebabkan air hujan memasuki dalam kediaman.

Beberapa penghuni terpaksa menumpang di rumah jiran dan saudara mara kerana risau keselamatan diri atau jika berlaku litar pintas.

Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 9:10am
d