mutakhir

Penagih dadah mengamuk, bakar rumah

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Anggota polis terpaksa menggunakan air pancutan bomba sebelum dapat menahan seorang lelaki yang mengamuk dan membakar rumahnya di Kampung Seri Ketengga, Mukim Siong di sini, semalam.

Pada kejadian 4 petang, lelaki berusia 36 tahun itu mengamuk dengan melibas parang sebelum membakar dapur rumahnya.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian daripada abang suspek yang membuat laporan di Balai Polis Tanjung Pari.

"Kami berusaha memujuk suspek supaya menyerah diri kerana bimbang dia berkemungkinan menyerang penduduk.

"Namun usaha memujuk gagal dan suspek masuk dan mengunci pintu rumahnya daripada dalam. Pintu kemudiannya dipecah sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat pancutan air bagi menghalang suspek daripada menyerang," katanya pada kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, kejadian dipercayai berpunca kesan ketagihan dadah menyebabkan suspek gagal mengawal diri.

"Suspek ditangkap dan bomba kemudiannya memadam kebakaran kecil di dapur daripada merebak.

"Semakan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kami merampas dua parang yang digunanya dalam kejadian itu," katanya.

Suspek direman empat hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 2:26pm
d