mutakhir

91,317 pegawai, anggota PDRM sudah terima suntikan vaksin

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seramai 91,317 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima dos pertama dan dos kedua vaksin Covid-19 sejak pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sehingga 6 Jun lalu.

Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Ramli Din berkata, keseluruhan kekuatan keanggotaan pasukan beruniform itu adalah seramai 114,496 pegawai kanan dan anggota.

"Seramai 10,670 pegawai kanan sudah menerima dua dos suntikan vaksin, 859 pegawai kanan pula sudah menerima dos pertama dan sedang menunggu dos kedua, manakala, 1,566 pegawai kanan masih belum menerima suntikan vaksin.

"Bagi anggota pula, seramai 80,647 anggota sudah menerima dua dos suntikan vaksin, 6,106 anggota sudah melengkapkan suntikan dos pertama dan sedang menunggu dos kedua, manakala 14,648 anggota masih belum menerima suntikan.

"Kami sedang meneruskan usaha bagi menyempurnakan proses vaksinansi bagi baki 23,179 pegawai dan anggota yang masih belum menerima suntikan vaksin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, selaku Pengarah Pengurusan PDRM, beliau pastinya mahu keseluruhan pegawai dan anggota agensi berkenaan menerima suntikan vaksin pada tahap ini.

"Bagaimanapun, pengagihan penerimaan vaksin kepada pegawai dan anggota PDRM terletak pada bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"PDRM sudah menyerahkan senarai nama dan maklumat pegawai dan anggota kepada pihak KKM dan kami memahami kesukaran dialami oleh KKM dalam pengagihan vaksin di seluruh negara kepada semua petugas barisan hadapan di pelbagai organisasi," katanya.

Mengulas mengenai anggota PDRM yang bertugas di lapangan termasuk sekatan jalan raya (SJR) yang masih belum menerima vaksin, beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai kawalan terhadap pemilihan anggota mana yang diberi keutamaan untuk menerima vaksin.

"Semua pegawai dan anggota PDRM diminta untuk mendaftar menerima vaksin melalui MySejahtera dan akan dimaklumkan mengenai penerimaan vaksin oleh Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri.

"Pada masa sama, PDRM sebagai petugas barisan hadapan juga sukar untuk mengerahkan pegawai dan anggota bertugas di SJR berdasarkan status suntikan vaksin.

"Bagaimanapun, PDRM mengambil pendekatan pencegahan termasuk menyediakan pakaian perlindungan diri (PPE) seperti sarung tangan, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan lain-lain untuk melindungi serta mengurangkan risiko jangkitan terhadap mereka semasa bertugas," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 4:30pm
d