mutakhir

Tambah 100 sukarelawan MyVac di lapan PPV

Oleh Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri Melaka akan menambah 100 lagi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dalam kalangan belia di lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu yang akan mula beroperasi bermula 16 Jun ini.

Exco Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, setakat ini 119 belia ditempatkan di enam PPV di Melaka membabitkan Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Beliau berkata, usaha dilaksanakan bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri itu secara tidak langsung dapat membantu golongan belia yang hilang punca pendapatan susulan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, ini kerana golongan berkenaan akan dibayar elaun RM50 setiap hari, sekali gus mampu memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.

"Sejak permohonan sukarelawan dibuka secara dalam talian, 1,437 belia mendaftar, namun hanya 209 menghantar maklumat lengkap dalam sistem profile layak bertugas sebagai sukarelawan.

"Saya menggesa golongan belia terutama belia menganggur untuk mengambil peluang menyertai MyVac memandangkan akan ada penambahan PPV di negeri ini tidak lama lagi.

"Kita berharap mereka dapat melengkapkan maklumat permohonan itu selain ada tapisan dan terdapat kriteria ditetapkan sebelum mereka layak dipilih sebagai sukarelawan ini," katanya selepas meninjau PPV Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Mohd Rafiq berkata, setiap sukarelawan dipilih akan menerima vaksin kerana terbabit secara langsung membantu petugas barisan hadapan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, beliau mengesyorkan Kompleks Belia dan Sukan di Ayer Keroh, di sini dijadikan satu daripada PPV baharu bagi melancarkan proses PICK di Melaka.

Menurutnya, beliau akan mengemukakan cadangan itu di peringkat kerajaan negeri untuk diangkat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan kelulusan.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 8:27pm
d