mutakhir

Tekad dua Kadet Malaysia

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Dua kadet dari Malaysia yang berjaya dipilih memasuki akademi tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini berjanji akan mengharumkan nama negara dan berterima kasih kepada AS kerana memilih mereka.

Dua kadet terbabit, Mohamad Khairel Adha Mohad Khairee dan Nicholas Ong Yong Xen dipilih daripada calon seluruh dunia yang bersaing untuk mendapatkan tempat dalam akademi itu.

Mohamad Khairel akan memasuki Akademi Tentera Udara AS dan Nicholas akan mendaftar di Akademi Tentera Laut AS yang mana mereka akan menghabiskan pengajian selama empat tahun di sana.

Mohamad Khairel berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kedutaan AS kerana membantunya sehingga berjaya memasuki akademi itu.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tenaga pengajar yang melatih selama ini dan menjadikan saya orang yang lebih baik.

"Ini adalah peluang keemasan kepada saya dan dapat mempelajari kehidupan baru dalam ketenteraan udara yang mana saya banyak belajar dan mendapat pengalaman baru ketika memohon untuk diterima masuk ke akademi ini," katanya pada majlis keberangkatan pemuda #Malaysia! yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook kedutaan AS, di sini, hari ini.

Mohamad Khairel turut menitipkan pesanan kepada individu yang berminat menyertai akademi itu supaya tidak mudah berputus asa sehingga peluang itu muncul.

Katanya, dia sendiri memohon memasuki akademi itu sebanyak dua kali sebelum berjaya.

"Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan menjadi pemimpin yang baik dalam TUDM selepas tamat pengajian.

"Saya juga berharap impian menjadi juruterbang TUDM tercapai seterusnya membanggakan keluarga dan negara," katanya.

Sementara itu, Nicholas berkata, ia satu proses panjang sebelum diterima masuk ke akademi itu, selain memerlukan komitmen dan kerja kuat yang tinggi.

"Ketika belajar di Maktab Tentera Diraja (MTD) saya memang tertarik untuk menyambung pelajaran di Akademi Tentera Laut AS (USNA) dan sudah membuat persediaan supaya dapat diterima masuk ke sini.

"Saya lihat USNA dapat meningkatkan tahap kepemimpinan, latihan ketenteraan, etika dan meningkatkan kemahiran saya," katanya.

Dia turut berterima kasih kepada keluarga kerana memberi sokongan dan mengajarnya supaya sentiasa merendah diri serta berusaha mendapat keputusan yang terbaik dalam apa jua dilakukan.

"Terima kasih juga kepada semua pihak termasuk panel pemilih yang memberi peluang menjadi seorang daripada peserta akhir ke USNA.

"Saya berjanji akan buat yang terbaik dan membanggakan negara," katanya.

Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters pada majlis turut mengucapkan selamat maju jaya kepada dua kadet terbabit yang diterima masuk ke akademi terbabit.

"Mereka dipilih setelah proses pemilihan yang teliti dengan melihat potensi kepemimpinan, kecergasan fizikal dan pencapaian akademik," katanya.

Untuk rekod, seramai 34 rakyat Malaysia lulus dari empat akademi tentera AS dengan kadet pertama menghadiri kelas pada 1971.

Disiarkan pada: June 9, 2021 @ 12:43pm
d