mutakhir

Kerani wanita ditipu Macau Scam

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Kerani wanita sebuah syarikat swasta di sini, kerugian RM79,600 dan terpaksa berhutang dengan empat rakannya selepas menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Ia selepas dia tertipu dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memperdayakan kononnya mangsa terbabit aktiviti pengubahan wang haram.

Wanita berusia 51 tahun berkenaan membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali mengatakan dia terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram ketika berada di tempat kerjanya, awal bulan ini.

Menurutnya, suspek menghubungi mangsa menggunakan nombor telefon didakwa IPK Sabah untuk meyakinkan wanita itu.

Katanya, suspek itu kemudiannya menghantar nombor akaun untuk pemindahan wang melalui WhatsApp.

"Suspek mendakwa jika mangsa ingin selesaikan masalah berkenaan, dia dikehendaki membuat pembayaran terlebih dahulu.

"Bermula Jumaat hingga Ahad lalu wanita itu mengeluarkan wang simpanannya sebanyak RM65,000, malah turut meminjam RM14,600 daripada empat rakannya.

"Mangsa kemudian membuat pemindahan wang di mesin deposit tunai (CDM) sebanyak lapan kali dengan nilai keseluruhan RM 79,600 di sebuah bank di Teluk Intan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selepas memasukkan wang yang diminta suspek di dua akaun berbeza, wanita itu kemudiannya mendapati nombor telefon suspek tidak dapat dihubungi.

"Polis sedang mengesan suspek dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 8:26am
d